Monday, May 3, 2010

Assalamualaikum.wrh..

PADA YANG KECIL ITU ADA BARAKAH

"Memasak Pun Boleh Jadi Tazkirah, Andai Celik mata Hati"

“Hasrizal, malam ini kamu gorengkan ayam boleh tak?”, Fatih bertanya.

“Goreng cara Turki, atau cara Malaysia?”, saya bertanya dengan nada gurau.

“Kalau cara Turki, baik saya sendiri sahaja yang melakukannya. Saya ini
tidaklah sejahil yang kamu semua sangkakan.”, Fatih cuba mempertahankan
kelemahan dirinya yang tidak mahir di dapur. Faruk dan Hasan turut ketawa.

Setiap kali saya berkunjung ke Istanbul, Fatih mesti akan meminta saya
menggorengkan ayam ala Malaysia. Sebenarnya, ayam goreng ala Malaysia yang
dia maksudkan itu hanyalah ayam yang digoreng dengan serbuk kunyit serta
secubit garam. Kalau orang Turki, ayamnya tidak digoreng begitu. Mereka
lazim menggoreng ikan dan ayam dengan tepung gandum bercampur tepung beras
dan sedikit serbuk lada putih.

Syukur Alhamdulillah, persahabatan saya dengan Fatih dan rakan-rakan yang
lain memberikan peluang kepada kami untuk belajar banyak perkara baru.
Seperkara tentang orang Turki yang menarik perhatian saya adalah sikap
mereka yang cermat terhadap perkara-perkara yang kecil dan halus.
Kadang-kadang pada kita, hal seperti ini tidak mempunyai sebarang
signifikasi, tetapi bagi orang Turki, mereka cukup mengambil berat
mengenainya.

Saya masih ingat, semasa yang bertandang ke rumah Mahmud Bilici, rakan baik
saya semenjak di Jordan. Beliau merupakan pelajar Turki yang disegani oleh
rakan-rakan Turki yang lain di Amman. Mungkin sifat rendah diri, keluasan
ilmu dan kefasihan Bahasa Arab yang dituturkannya, menjadikan beliau begitu
karismatik seawal hari pertama saya bertemu dengan Mahmud.

Saya bertandang ke rumah Mahmud yang terletak di Draman. Ia tidak jauh dari
Masjid Ismail Ağa Camii yang menjadi markaz Tarikat Naqsyabandiyyah di
Istanbul. Malam itu sebelum kami melelapkan mata, saya meminta segelas air
masak untuk membasahkan tekak. Mahmud mengambil cawan yang tersimpan di rak
pinggan, membasuhnya terlebih dahulu sebelum diisi dengan air yang diminta.


Saya kagum dengan ketelitian Mahmud. Kalau saya, mungkin cawan yang sudah
sedia bersih itu akan terus diisi dengan air masak. Tetapi Mahmud
membilasnya dengan air terlebih dahulu sebelum diisi dengan air masak.
Orang Turki memang pembersih.

Saya juga selalu melihat tong sampah di lokasi pembuangan sampah di
Istanbul diberus dan dibersihkan oleh pekerja Istanbul Büyükşehir
Belediyesi (Dewan Kota Metropolitan Istanbul) dengan berus dan air. Wah,
tong sampah pun mesti bersih dan kemas!

Kebersihan rumah kawan-kawan Turki juga sentiasa mengagumkan saya. Walaupun
ada di kalangan mereka yang merokok, rumah bujang perokok mereka juga masih
bersih. Buku-buku tersusun rapi, pakaian elok terletak, malah bilik mandi
dan tandas juga tidak pernah bercampur. Kebanyakan rumah di Istanbul,
mempunyai sekurang-kurangnya dua bilik air. Maka satu digunakan untuk mandi
manda dan satu lagi dikhususkan untuk buang air. Bilik mandi pula lazimnya
berkarpet dan saya belajar untuk mandi dan berwudhu’ tanpa membasahkan
karpet itu. Hmm, agaknya kalau ada orang Turki yang bergaduh laki bini,
tidur dalam bilik air pun masih okay lagi.

Saya kira, kebersihan yang terbit dari iman, memang benar-benar dapat
dirasakan di Turki.

Kalau di masjid, berhati-hati. Anda mungkin akan diminta keluar oleh ‘orang
masjid’ sekiranya anda masuk ke masjid dengan stokin yang ‘tidak molek’.
Apabila anda keluar dari pintu masjid, junjung kedua-dua pasang kasut anda
ke atas kerana orang Turki tidak mahu kasut yang dijinjing menyentuh
pakaian orang lain.

Tidak lupa, di sesetengah masjid, seperti yang pernah saya lihat di Bursa,
akan dikhususkan masa sekitar jam 10 pagi untuk kaum ibu sahaja. Mereka
datang ke masjid untuk mengelap dinding, anjung tingkap, tiang dan perabot
masjid, agar sentiasa bersih dan kemas. Saya belajar bagaimana tuntutan
iman menjadi corak hidup, semasa saya di Turki.

Malah soal teliti mereka dengan perkara-perkara yang sering dipandang
ringan oleh sesetengah kita, mempunyai akar umbi yang panjang di era Islam
Othmaniyyah.

Sultan Suleyman al-Qanuni yang memerintah Khilafah Othmaniyyah dari tahun
1520 – 1566 telah memberikan contoh yang sama. Semasa beliau mengeluarkan
belanja sendiri membina Masjid Suleymaniye di Istanbul, Sultan Suleyman
telah mewajibkan semua pekerjanya bekerja membina masjid itu dalam keadaan
berwudhu’. Tentunya ia tidak ada dalam ‘rukun membina masjid’. Tetapi
ada
sesuatu yang ingin dicapai oleh baginda. Sultan Suleyman akan memecat
sesiapa yang diketahuinya tidak mematuhi syarat tersebut.

Apakah yang terhasil daripada ketelitian Sultan Suleyman terhadap
perkara-perkara kecil begitu? Jawapannya adalah BARAKAH.

Masjid Suleymaniye pernah ditutup di zaman Atatürk dan dijadikan kandang
kuda. Ia pernah dicemar hingga ke tahap itu. Tetapi hari ini, apabila saya
bersolat di Suleymaniye Camii, saya mendapat suatu ‘rasa’ yang sukar
diungkapkan dengan kata. Tenang, tenteram, rasa mahu dan mahu menambah
ibadah, pelbagai perasaan yang positif itu mungkin datang dari sebuah
masjid yang ada barakah. Masjid yang dibina dengan mengambil kira soal
remeh-temeh yang hari ini tidak kita pedulikan.

Jauh benar bezanya masjid itu dengan masjid kita yang mimbarnya pun
kekadang dibina oleh tangan-tangan penyembah berhala!
Soal orang Turki yang teliti dengan perkara-perkara yang halus ini,
mengingatkan juga saya kepada perbualan bersama Pakcik Mehmet, ayah Fatih,
semasa kami bercuti di Bolvadin.

“Pakcik, saya ingin bertanya sesuatu tentang nama pakcik. Bolehkah?”, saya
bertanya kepada Pakcik Mehmet, ayah Fatih.

“Tentu sahaja, nak. Tanyalah. Kenapa pula dengan nama pakcik?”, ayah Fatih
sedikit terkejut dengan permintaan saya.

“Saya terfikir, orang Turki ramai yang bernama Mehmet seperti pakcik. Saya
kira Mehmet itu bermaksud Muhammad, kan?”, saya bertanya.

“Betul. Mehmet bermaksud Muhammad. Kenapa, Hasrizal?”, tanya Pakcik Mehmet
kepada saya.

“Jika nabi kita, nama baginda disebut Muhammed. Hazreti Peygamber Muhammed.
Mengapa nama Rasulullah disebut Muhammad sedangkan nama pakcik disebut
Mehmet?”, saya cuba mencari penjelasan dari pakcik.

“Oh, itu rupanya soalan kamu. Setahu pakciklah, nama Muhammad itu kami
khususkan hanya pada baginda Rasulullah SAW. Bukan apa. Kalau kami namakan
anak-anak kami sebagai Muhammad, nanti kalau mereka buat hal, tercemar pula
nama Rasulullah”, kata Pakcik Mehmet.

“Tercemar macam mana tu?”, saya kurang faham apa yang Pakcik Mehmet
maksudkan.

“Bayangkan, kalau si Fatih ni pakcik namakan Muhammad. Tiba-tiba dia
mencuri buah epal jiran sebelah. Nanti apa kata orang kampung? Isy, jahat
sungguh Muhammad tu. Curi epal jiran! Hah, kan tak elok, perbuatan mencuri
dinisbahkan kepada nama semulia Muhammad!”, Pakcik Mehmet begitu
bersemangat bercerita kepada saya.

Terlopong saya dibuatnya!

Begitu sekali mereka mengambil kira soal ‘sekecil ini’. Maka amat tidak
benarlah apa yang pernah ditulis oleh seorang penulis di dalam akhbar di
tanah air. Sekembalinya beliau dari lawatan di Turki, beliau menulis dan
menyentuh secara khusus isu nama Mehmet ini. Katanya, orang Turki sudah
terlalu sekular sehingga hendak menyebut nama Rasulullah pun sudah tidak
mampu. Sudah pelat, katanya.

Walhal pemikiran penulis itu yang pelat! Menafsirkan budaya orang lain
dengan pandangan sendiri. Mujur artikelnya di dalam Bahasa Malaysia. Kalau
dibaca oleh orang Turki, tentu tersinggung hati mereka dengan persepsi kita

seperti itu.

Ayam sudah siap terhidang.

Lama pula saya mengelamun. Pelbagai perkara yang mengimbau ingatan saya
sambil memasak di dapur. Kebetulan Fatih, dan rakan-rakan yang lain sedang
sibuk menelaah pelajaran untuk peperiksaan akhir semester. Saya sudah
selesai menjalani peperiksaan yang sama di Jordan dua minggu lalu.
Kehadiran saya ke Turki sekurang-kurangnya dapat membantu kawan-kawan saya
ini belajar dengan lebih baik. Biar soal makan minum, saya bantu seadanya.

“Fatih, Islam, Hasan, Faruk, Osman, marilah makan!”, saya menjerit
memanggil mereka yang khusyuk di meja membaca masing-masing.

Setiap kali makan, kami akan membentangkan dua keping surat khabar lama.
Tujuan utamanya adalah untuk memastikan sisa makanan tidak jatuh ke karpet.
Akan tetapi, malam itu perhatian saya terpaut kepada tindak-tanduk rakan
saya ketika makan, terutamanya Islam. Setiap kali beliau mematahkan roti,
beliau akan melakukannya di atas mangkuk nasi. Seandainya masih ada
serbuk-serbuk dari kulit roti itu bertaburan di atas lapik, Islam akan
mengumpulkannya untuk dimakan. Tidak ada langsung sisa makan yang terbuang.


“Islam, saya suka tengok cara awak makan. Tidak ada yang tersisa langsung.
Berkat, berkat...!”, saya memuji Islam.

“Betul Hasrizal. Ia soal keberkatan. Walaupun macam-macam yang kita makan,
kita tidak tahu pada bahagian mana makanan kita yang Allah pilih sebagai
asbab untuk-Nya menurunkan barakah”, kata Islam.

Ya, apa yang Islam katakan itu memang benar. Ia mengingatkan saya kepada
sepotong hadith Nabi SAW:

عن جابر ، أنه سمع النبي صلى الله عليه وسلم ،
يقول : " إذا طعم أحدكم ، فسقطت
لقمته من يده ، فليمط ما رابه منها ، وليطعمها
، ولا يدعها للشيطان ، ولا يمسح
يده بالمنديل حتى يلعق يده ، فإن الرجل لا
يدري في أي طعامه يبارك له
Dari Jabir, beliau mendengar Nabi s.a.w. bersabda: “Apabila sesiapa dari
kalangan kamu makan, dan jatuh sejemput dari tangan, maka bersihkanlah
habuk yang terlekat pada makanan itu dan hendaklah dia memakannya. Jangan
tinggalkan bahagian itu untuk syaitan. Dan janganlah dibersihkan tanganmu
dengan kain pengelap sehingga dia telah menjilat (jari-jari)nya.
Sesungguhnya seseorang itu tidak tahu pada bahagian manakah makanannya yang
diberkati Allah”

Islam telah mengingatkan saya kepada pelajaran yang amat berharga. Pakcik
Mehmet juga telah mengingatkan saya tentang ilmu yang berguna. Jangan
pandang kecil, selagi ia berupa satu kebajikan dan kebaikan. Penilainya
adalah Tuhan, Allah yang menilai amal pada harga sebuah iman. Jangan
tangguhkan kebaikan yang kecil semata-mata mahu menunggu peluang amal yang
besar.

Itu di Turki.

Hal ini juga mengingatkan saya kepada peristiwa semasa saya berjamu makan
di rumah Pak Anjang saya di Baker Street, London. Pagi itu, kebetulan Pak
Ngah sekeluarga datang dari Malaysia. Maka kami semua berkumpul di rumah
Pak Anjang. Rumah di Baker Street ini Pak Anjang belikan untuk anaknya,
Ziad yang belajar di Westminster University, di seberang jalan.

Saya amat kagum semasa melihat Mak Anjang memasak di dapur. Lebihan nasi
malam tadi dikumpulkannya. Kemudian kerak nasi itu pula direndam di dalam
air panas dan kemudian ditos. Semua bahagian nasi yang berlebihan malam
tadi, Mak Anjang gunakan untuk memasak nasi gorengnya. Tidak ada bahagian
makanan mana yang tersisa. Mungkin ini sebahagian daripada sikap Mak Anjang
sekeluarga yang menjadi tangga mereka membina kehidupan yang berjaya.
Walaupun sudah bertaraf jutawan, Mak Anjang dan Pak Anjang sekeluarga masih
mengambil kira soal-soal kecil seperti kerak nasi di dapur.

Saya amat menghargai pelajaran itu.

Marilah kita bersama-sama menghitung dan mengambil kira benda-benda kecil
yang kita abaikan selama ini. Mungkin pada yang kecil halus itulah Allah
menyentuh kehidupan kita dengan barakah.

Sebagaimana kebaikan yang kecil mungkin menjadi punca keberkatan Allah,
maka berhati-hati jugalah dengan dosa-dosa yang kita anggap kecil. Ia
menjadi punca murka Allah. Dalam setahun, mungkin seorang dua sahaja warga
negara kita yang mati dibaham harimau. Namun, jumlah yang mati kerana
gigitan seekor nyamuk, jauh berganda. Yang kecil jangan dipandang remeh,
yang besar yang disangka segala-galanya.

Mari luruskan saf, mari kemaskan saf, mari habiskan makanan, mari pelihara
adab dalam iman. Murahkan senyuman, banyakkanlah membuat kebaikan yang
mudah dan kecil tapi berpanjangan. Mengubah ranting dari jalan agar jangan
ada yang kesakitan, memandang wajah saudara dengan air muka manis penuh
senyuman. Banyak-banyakkan berbuat kebaikan, tidak diketahui yang mana
bakal dipilih Tuhan, jadi pemboleh ke syurga yang berkekalan.

Jangan pandang kecil pada RM1 yang mahu didermakan kepada mustadh’afeen di
Palestin!

Sikit-sikit, lama-lama jadi bukit.

ABU SAIF

No comments: