Monday, May 10, 2010














Abah sayang kamu semua.....























Teman mudah dicari....kekayaan dan harta mampu dimiliki andai kita menginginkannya...tetapi ketetangan dan kedamaian adalah peluang dan ruang yang perlu kita terokai bagi memilikinya...dia sentiasa ada dalam diri kita...cuma kita perlu tahu dimana dia tersembunyi.

Wednesday, May 5, 2010

Asalnya nama....Belantik

Pagi tu....entah kenapa Chey(tokwan) aku bercerita pada cucunya....tentang kepayahan dan kesusahan tok chey masa dulu....dia memang suka bercerita....Kadang sesuatu yang tidak kita fikirkan sebenarnya telah berlaku ....bukan fantasi...Dia juga sebenarnya memang brbakat dalam menyampaikan sesuatu cerita.....kalau dia berada di zaman ini, sudah tentu dia sudah jadi penulis yang terkenal...aku kagum dengan caranya bercerita...aku sendiri tidak mampu...

"Dulu Chey gi ke Sik jalan kaki awang ooo. Lalu kot dalam utan...ikut denai2 binatang". Dia mula bercerita....Terbayang dalam fikiran aku dan nak dibandingkan dengan situasi waktu ini....dapat aku rasakan bagaimana keadaan kampung ini waktu itu...tentu hutan belantaralah jawabnya..."Kadang2 Chey gi Jeniang..gi di sungai besa..tebang buluh buat rakit, pas tu ilir rakit kat sungai sampai Jeniang ...esok baru sampai awang ooo...". Sambungnya lagi.Mencabar sungguh...akupun tak sanggup. "Chey beli barang kat pekan Sik atau Jeniang ....kanda wak kelek...esok pulak baru sape rumah chair". Ternganga aku mendengarnya..."Chey jalan kaki ?". Soalan yang sengaja aku ajukan, walaupun sebenarnya aku tahu jawapannya.

Ternyata waktu itu, segala kepayahan dan kesulitan yang terpaksa ditanggung oleh beliau dan seluruh penduduk kampung dengan situasai itu. Tiada jalan perhubungan, tiada api elektrik maupun bekalan air bersih yang lengkap.Tantu semua dapat memahami bagaimana semua keperluan itu diusahakan untuk pengurusan diri.Bahaya ada dimana-mana....biarpun di bawah rumah sendiri.Rasanya generasi kini tak mungkin mampu berada dalam situasi begitu...kita selesa dan kita lupa....

Tapi sebenarnya situasi sebegitulah yang merapatkan semuanya...perhubungan, persaudaraan, saling menghormati dan memahami dan tolong menolong. Mereka sebenarnya maju pada zaman itu. Sebenarnya merekalah yang terhebat...sawah padi berekar-ekar dikerjakan hanya dengan menggunakan tulang empat kerat...semangat kerjasama dan persaudaraan yang sebenarnya yang menjayakannya.Mampukan kita hari ini melakukannya kalau tidak dengan menggunakan jentera dan sebagainya. Sebenarnya hidup mereka senang..tidak susah seperti zaman ini yang penuh dengan kerakusan dan keganasan..Cinta dulu terus mekar walau usia telahpun berkerut seperti wajah..tapi hari ini ...cinta kerap kali sudah gugur walupun hanya pada putik usianya....
Malu!!!!!malu!!!!

"wok pa mu menengung!" tersentak aku. Datuk menyedari aku tidak mendengarnya ceritanya. Aku mengelamun kerana kehebatan yang aku jumpa pada sebatang tubuh tua yang bercerita...memang mereka hebat.

"Chair...kenapa nama kampung ni Belantik Chey?"tiba-tiab terlintas difikiran aku ingin tahu kenapa kampung ini dinamakan Belantik...Dia cuma tersenyum sebagai respon kepada soalan yang aku ajukan itu. Tiba-tiba raut wajahnya berubah sedikit selepas saja senyuman sinis yang diberikannya itu...."Mengapa ya?". Ada sedikit genang air dikelopak matanya yang bagaikan mahu menitis namun terhenti dan hilang entah kemana. Ia semakin menjadi tandatanya dibenak fikiranku. Apakah soalan aku itu telah menyentuh lukanya yang tak pernah sembuh.. Bersalahkah aku....namun aku tak sengaja.Biar kalaupun dia tak mahu bercerita pada aku...

"Chey...saya mintak maaf kalu soalan tu buat Chey tersinggung" Aku cuba memadamkan kesalahan yang mungkin telah aku lakukan.Pelahan-pelahan kudrat uzur itu cuba bangun dan berlalu menuju kesatu sudut rumahnya.Terlopong aku memerhati gerak gerinya.Tidak lama kemudian dia kembali bersama dibawanya satu benda yang tidak pernah aku lihat sebelum itu. Seutas tali yang diperbuat daripada rotan dan peralatan lain yang tak tahu bagaimana harus aku namakan disini. Dia duduk benar-benar di hadapanku.

"Awang....dulu mek mu tu (emak aku) ada adiknya" dia mula bersuara kembali.Aku mula rasa lega kerana dia sudi bersuara kembali. Sekurang-kurang rasa besalah aku tadi dapat ku kurangkan....."masa tu mek mu tu umur dia baru empat tahun" sambung dia lagi. Aku mendengar dengan penuh suspen. Pada raut wajah senja yang berkerut seribu itu seperti merenung jauh dan memberi erti yang sangat dalam dan melukakan....sebenarnya itulah penderitaan yang pernah dialaminya suatu masa dulu, yang menghimpit resah dan memanjangkan luka pada memorinya bila ia tersentuh kembali. Aku mula menyedari.

"Adik Mek mu masa tu baru sepuluh bulan. Masa tu Chey dok buat uma (padi bukit) dekat Cenerai (nama tempat yang jaraknya lebih kurang 6 Kilometer dari kampung Belantik)". Aku hanya terdiam mendengar dia terus menyambung ceritanya.."Chey gi wak Tok mu dan budak-budak tu dok di dango uma (pondok kecil)". Aku tahu siapa budak-budak yang dimaksudkan olehnya. Pak Long. Pak Lang, Pak Ngah dan tentu emak aku sendiri termasuk adik mak yang yang menjadi watak terpenting dalam cerita yang ingin disampaikan oleh Chey ini. Setahu aku, kalau sudah pergi membuat padi huma, sudah tentu memakan masa sampai dua tiga hari baru pulang.Seingat aku, pernah beberapa kali aku juga sampai ke tempat padi huma Tok Wan aku. Masa tu aku masih kecil tapi sudah mampu untuk mengingati situasi-situasi tertentu yang berlaku.Ada sebatang sungai besar (Sungai Muda) berhampiran kawasan padi huma Chey...sungguh menarik. Tetapi keadaan waktu aku pergi tidaklah sehebat seperti keadaan yang Tok Wan aku ceritakan. Memang bagi aku suasana waktu itu amat mengkagumkan....ketenangan...kepuasan dan keseronokkan adalah anugerah yang tersimpan.

Di sinilah sebenarnya bermula segala peristiwa yang memanjangkan episod luka Tok Wan...Baru aku tahu, masa itu terlalu banyak binatang buas yang turut sama menghuni persekitaran kampung bersama penduduk. Kata chey kalu nak tengok harimau pada waktu itu....kita lihatlah kambing-kambing di kampung-kampung pada waktu ini. Mungkin keterlaluan..tapi itulah situasi yang diberikan.Aku tak mampu untuk menulis setiap kata-kata Chey di sini...dan aku sendiri tak mampu bagaiman untuk mengambarkannya.Tapi aku mampu memahami dan menghayati sedalam mana luka dan kesedihannya. Harimau belang bukan saja ada di kawasan padi huma bahkan dipersekitaran kampung juga ia ada dimana-mana. Lalu sebenarnya penduduk amat terdedah dengan serangan binatang buas. Banyak orang kampung menjadi mangsa ...termasuklah anak Chey sendiri iaitu Adik Mak. Dia dibaham dihadapan Tok Wan sendiri di kawasan padi Huma dan Tok Wan tidak mampu untuk berbuat apa-apa.Kudrat yang ada hanyalah menjadi sisa untuk berusaha bagi menyelamatkan ahli keluarga yang lain dari terus menjadi mangsa pada waktu itu.

"Benda ni lah yang dinamakan Belantik" Tok Wan menyambungkan ceritanya sambil menunjukkan benda yang diambilnya tadi.Alat tu merupakan sejenis perangkap yang digunakan untuk membunuh harimau. Kadang-kadang manusia menjadi lebih kreatif bila situasa yang memaksa.Aku sendiri tidak dapat memikirkan bagaimana ia digunakan dan mampu berfungsi untuk membunuh Pak Belang yang ganas dan mengerunkan itu. "Benda-benda disambung pada senapang patah dan diletakkan pada denai-denai yang binatang buas selalu melaluinya. Bila Pak Belang melintasi tempat tersebut dan menyepak tali perambut ni...senapang tu akan meletup dan membunuh harimau tu" dengan penuh semangat dia bercerita pada aku. Nasib lah kalau binatang lainpun yang melintasi kawasan itu...."Macam mana pulak kalau ornag yang lalu kat situ?" Aku bertanya untuk mendapatkan kepastian.
"Selalunya kat orang kampung demo goyat dah awal-awal lagi awang oooo" balasnya sambil tersenyum sinis bagi menampakkan kebengapan aku yang bertanya soalan bodoh seperti itu.

OOOOO.....SEBAB TU KAMPUNG TEMPAT LAHIR AKU NI DINAMAKAN 'BELANTIK'...DAN sampai ke hari ini, masih banyak tempat-tempat menarik yang masih menggamit memori indah yang sering memaksa aku terus mengunjunginya. Aku senang di sini...

Monday, May 3, 2010

Assalamualaikum.wrh..

PADA YANG KECIL ITU ADA BARAKAH

"Memasak Pun Boleh Jadi Tazkirah, Andai Celik mata Hati"

“Hasrizal, malam ini kamu gorengkan ayam boleh tak?”, Fatih bertanya.

“Goreng cara Turki, atau cara Malaysia?”, saya bertanya dengan nada gurau.

“Kalau cara Turki, baik saya sendiri sahaja yang melakukannya. Saya ini
tidaklah sejahil yang kamu semua sangkakan.”, Fatih cuba mempertahankan
kelemahan dirinya yang tidak mahir di dapur. Faruk dan Hasan turut ketawa.

Setiap kali saya berkunjung ke Istanbul, Fatih mesti akan meminta saya
menggorengkan ayam ala Malaysia. Sebenarnya, ayam goreng ala Malaysia yang
dia maksudkan itu hanyalah ayam yang digoreng dengan serbuk kunyit serta
secubit garam. Kalau orang Turki, ayamnya tidak digoreng begitu. Mereka
lazim menggoreng ikan dan ayam dengan tepung gandum bercampur tepung beras
dan sedikit serbuk lada putih.

Syukur Alhamdulillah, persahabatan saya dengan Fatih dan rakan-rakan yang
lain memberikan peluang kepada kami untuk belajar banyak perkara baru.
Seperkara tentang orang Turki yang menarik perhatian saya adalah sikap
mereka yang cermat terhadap perkara-perkara yang kecil dan halus.
Kadang-kadang pada kita, hal seperti ini tidak mempunyai sebarang
signifikasi, tetapi bagi orang Turki, mereka cukup mengambil berat
mengenainya.

Saya masih ingat, semasa yang bertandang ke rumah Mahmud Bilici, rakan baik
saya semenjak di Jordan. Beliau merupakan pelajar Turki yang disegani oleh
rakan-rakan Turki yang lain di Amman. Mungkin sifat rendah diri, keluasan
ilmu dan kefasihan Bahasa Arab yang dituturkannya, menjadikan beliau begitu
karismatik seawal hari pertama saya bertemu dengan Mahmud.

Saya bertandang ke rumah Mahmud yang terletak di Draman. Ia tidak jauh dari
Masjid Ismail Ağa Camii yang menjadi markaz Tarikat Naqsyabandiyyah di
Istanbul. Malam itu sebelum kami melelapkan mata, saya meminta segelas air
masak untuk membasahkan tekak. Mahmud mengambil cawan yang tersimpan di rak
pinggan, membasuhnya terlebih dahulu sebelum diisi dengan air yang diminta.


Saya kagum dengan ketelitian Mahmud. Kalau saya, mungkin cawan yang sudah
sedia bersih itu akan terus diisi dengan air masak. Tetapi Mahmud
membilasnya dengan air terlebih dahulu sebelum diisi dengan air masak.
Orang Turki memang pembersih.

Saya juga selalu melihat tong sampah di lokasi pembuangan sampah di
Istanbul diberus dan dibersihkan oleh pekerja Istanbul Büyükşehir
Belediyesi (Dewan Kota Metropolitan Istanbul) dengan berus dan air. Wah,
tong sampah pun mesti bersih dan kemas!

Kebersihan rumah kawan-kawan Turki juga sentiasa mengagumkan saya. Walaupun
ada di kalangan mereka yang merokok, rumah bujang perokok mereka juga masih
bersih. Buku-buku tersusun rapi, pakaian elok terletak, malah bilik mandi
dan tandas juga tidak pernah bercampur. Kebanyakan rumah di Istanbul,
mempunyai sekurang-kurangnya dua bilik air. Maka satu digunakan untuk mandi
manda dan satu lagi dikhususkan untuk buang air. Bilik mandi pula lazimnya
berkarpet dan saya belajar untuk mandi dan berwudhu’ tanpa membasahkan
karpet itu. Hmm, agaknya kalau ada orang Turki yang bergaduh laki bini,
tidur dalam bilik air pun masih okay lagi.

Saya kira, kebersihan yang terbit dari iman, memang benar-benar dapat
dirasakan di Turki.

Kalau di masjid, berhati-hati. Anda mungkin akan diminta keluar oleh ‘orang
masjid’ sekiranya anda masuk ke masjid dengan stokin yang ‘tidak molek’.
Apabila anda keluar dari pintu masjid, junjung kedua-dua pasang kasut anda
ke atas kerana orang Turki tidak mahu kasut yang dijinjing menyentuh
pakaian orang lain.

Tidak lupa, di sesetengah masjid, seperti yang pernah saya lihat di Bursa,
akan dikhususkan masa sekitar jam 10 pagi untuk kaum ibu sahaja. Mereka
datang ke masjid untuk mengelap dinding, anjung tingkap, tiang dan perabot
masjid, agar sentiasa bersih dan kemas. Saya belajar bagaimana tuntutan
iman menjadi corak hidup, semasa saya di Turki.

Malah soal teliti mereka dengan perkara-perkara yang sering dipandang
ringan oleh sesetengah kita, mempunyai akar umbi yang panjang di era Islam
Othmaniyyah.

Sultan Suleyman al-Qanuni yang memerintah Khilafah Othmaniyyah dari tahun
1520 – 1566 telah memberikan contoh yang sama. Semasa beliau mengeluarkan
belanja sendiri membina Masjid Suleymaniye di Istanbul, Sultan Suleyman
telah mewajibkan semua pekerjanya bekerja membina masjid itu dalam keadaan
berwudhu’. Tentunya ia tidak ada dalam ‘rukun membina masjid’. Tetapi
ada
sesuatu yang ingin dicapai oleh baginda. Sultan Suleyman akan memecat
sesiapa yang diketahuinya tidak mematuhi syarat tersebut.

Apakah yang terhasil daripada ketelitian Sultan Suleyman terhadap
perkara-perkara kecil begitu? Jawapannya adalah BARAKAH.

Masjid Suleymaniye pernah ditutup di zaman Atatürk dan dijadikan kandang
kuda. Ia pernah dicemar hingga ke tahap itu. Tetapi hari ini, apabila saya
bersolat di Suleymaniye Camii, saya mendapat suatu ‘rasa’ yang sukar
diungkapkan dengan kata. Tenang, tenteram, rasa mahu dan mahu menambah
ibadah, pelbagai perasaan yang positif itu mungkin datang dari sebuah
masjid yang ada barakah. Masjid yang dibina dengan mengambil kira soal
remeh-temeh yang hari ini tidak kita pedulikan.

Jauh benar bezanya masjid itu dengan masjid kita yang mimbarnya pun
kekadang dibina oleh tangan-tangan penyembah berhala!
Soal orang Turki yang teliti dengan perkara-perkara yang halus ini,
mengingatkan juga saya kepada perbualan bersama Pakcik Mehmet, ayah Fatih,
semasa kami bercuti di Bolvadin.

“Pakcik, saya ingin bertanya sesuatu tentang nama pakcik. Bolehkah?”, saya
bertanya kepada Pakcik Mehmet, ayah Fatih.

“Tentu sahaja, nak. Tanyalah. Kenapa pula dengan nama pakcik?”, ayah Fatih
sedikit terkejut dengan permintaan saya.

“Saya terfikir, orang Turki ramai yang bernama Mehmet seperti pakcik. Saya
kira Mehmet itu bermaksud Muhammad, kan?”, saya bertanya.

“Betul. Mehmet bermaksud Muhammad. Kenapa, Hasrizal?”, tanya Pakcik Mehmet
kepada saya.

“Jika nabi kita, nama baginda disebut Muhammed. Hazreti Peygamber Muhammed.
Mengapa nama Rasulullah disebut Muhammad sedangkan nama pakcik disebut
Mehmet?”, saya cuba mencari penjelasan dari pakcik.

“Oh, itu rupanya soalan kamu. Setahu pakciklah, nama Muhammad itu kami
khususkan hanya pada baginda Rasulullah SAW. Bukan apa. Kalau kami namakan
anak-anak kami sebagai Muhammad, nanti kalau mereka buat hal, tercemar pula
nama Rasulullah”, kata Pakcik Mehmet.

“Tercemar macam mana tu?”, saya kurang faham apa yang Pakcik Mehmet
maksudkan.

“Bayangkan, kalau si Fatih ni pakcik namakan Muhammad. Tiba-tiba dia
mencuri buah epal jiran sebelah. Nanti apa kata orang kampung? Isy, jahat
sungguh Muhammad tu. Curi epal jiran! Hah, kan tak elok, perbuatan mencuri
dinisbahkan kepada nama semulia Muhammad!”, Pakcik Mehmet begitu
bersemangat bercerita kepada saya.

Terlopong saya dibuatnya!

Begitu sekali mereka mengambil kira soal ‘sekecil ini’. Maka amat tidak
benarlah apa yang pernah ditulis oleh seorang penulis di dalam akhbar di
tanah air. Sekembalinya beliau dari lawatan di Turki, beliau menulis dan
menyentuh secara khusus isu nama Mehmet ini. Katanya, orang Turki sudah
terlalu sekular sehingga hendak menyebut nama Rasulullah pun sudah tidak
mampu. Sudah pelat, katanya.

Walhal pemikiran penulis itu yang pelat! Menafsirkan budaya orang lain
dengan pandangan sendiri. Mujur artikelnya di dalam Bahasa Malaysia. Kalau
dibaca oleh orang Turki, tentu tersinggung hati mereka dengan persepsi kita

seperti itu.

Ayam sudah siap terhidang.

Lama pula saya mengelamun. Pelbagai perkara yang mengimbau ingatan saya
sambil memasak di dapur. Kebetulan Fatih, dan rakan-rakan yang lain sedang
sibuk menelaah pelajaran untuk peperiksaan akhir semester. Saya sudah
selesai menjalani peperiksaan yang sama di Jordan dua minggu lalu.
Kehadiran saya ke Turki sekurang-kurangnya dapat membantu kawan-kawan saya
ini belajar dengan lebih baik. Biar soal makan minum, saya bantu seadanya.

“Fatih, Islam, Hasan, Faruk, Osman, marilah makan!”, saya menjerit
memanggil mereka yang khusyuk di meja membaca masing-masing.

Setiap kali makan, kami akan membentangkan dua keping surat khabar lama.
Tujuan utamanya adalah untuk memastikan sisa makanan tidak jatuh ke karpet.
Akan tetapi, malam itu perhatian saya terpaut kepada tindak-tanduk rakan
saya ketika makan, terutamanya Islam. Setiap kali beliau mematahkan roti,
beliau akan melakukannya di atas mangkuk nasi. Seandainya masih ada
serbuk-serbuk dari kulit roti itu bertaburan di atas lapik, Islam akan
mengumpulkannya untuk dimakan. Tidak ada langsung sisa makan yang terbuang.


“Islam, saya suka tengok cara awak makan. Tidak ada yang tersisa langsung.
Berkat, berkat...!”, saya memuji Islam.

“Betul Hasrizal. Ia soal keberkatan. Walaupun macam-macam yang kita makan,
kita tidak tahu pada bahagian mana makanan kita yang Allah pilih sebagai
asbab untuk-Nya menurunkan barakah”, kata Islam.

Ya, apa yang Islam katakan itu memang benar. Ia mengingatkan saya kepada
sepotong hadith Nabi SAW:

عن جابر ، أنه سمع النبي صلى الله عليه وسلم ،
يقول : " إذا طعم أحدكم ، فسقطت
لقمته من يده ، فليمط ما رابه منها ، وليطعمها
، ولا يدعها للشيطان ، ولا يمسح
يده بالمنديل حتى يلعق يده ، فإن الرجل لا
يدري في أي طعامه يبارك له
Dari Jabir, beliau mendengar Nabi s.a.w. bersabda: “Apabila sesiapa dari
kalangan kamu makan, dan jatuh sejemput dari tangan, maka bersihkanlah
habuk yang terlekat pada makanan itu dan hendaklah dia memakannya. Jangan
tinggalkan bahagian itu untuk syaitan. Dan janganlah dibersihkan tanganmu
dengan kain pengelap sehingga dia telah menjilat (jari-jari)nya.
Sesungguhnya seseorang itu tidak tahu pada bahagian manakah makanannya yang
diberkati Allah”

Islam telah mengingatkan saya kepada pelajaran yang amat berharga. Pakcik
Mehmet juga telah mengingatkan saya tentang ilmu yang berguna. Jangan
pandang kecil, selagi ia berupa satu kebajikan dan kebaikan. Penilainya
adalah Tuhan, Allah yang menilai amal pada harga sebuah iman. Jangan
tangguhkan kebaikan yang kecil semata-mata mahu menunggu peluang amal yang
besar.

Itu di Turki.

Hal ini juga mengingatkan saya kepada peristiwa semasa saya berjamu makan
di rumah Pak Anjang saya di Baker Street, London. Pagi itu, kebetulan Pak
Ngah sekeluarga datang dari Malaysia. Maka kami semua berkumpul di rumah
Pak Anjang. Rumah di Baker Street ini Pak Anjang belikan untuk anaknya,
Ziad yang belajar di Westminster University, di seberang jalan.

Saya amat kagum semasa melihat Mak Anjang memasak di dapur. Lebihan nasi
malam tadi dikumpulkannya. Kemudian kerak nasi itu pula direndam di dalam
air panas dan kemudian ditos. Semua bahagian nasi yang berlebihan malam
tadi, Mak Anjang gunakan untuk memasak nasi gorengnya. Tidak ada bahagian
makanan mana yang tersisa. Mungkin ini sebahagian daripada sikap Mak Anjang
sekeluarga yang menjadi tangga mereka membina kehidupan yang berjaya.
Walaupun sudah bertaraf jutawan, Mak Anjang dan Pak Anjang sekeluarga masih
mengambil kira soal-soal kecil seperti kerak nasi di dapur.

Saya amat menghargai pelajaran itu.

Marilah kita bersama-sama menghitung dan mengambil kira benda-benda kecil
yang kita abaikan selama ini. Mungkin pada yang kecil halus itulah Allah
menyentuh kehidupan kita dengan barakah.

Sebagaimana kebaikan yang kecil mungkin menjadi punca keberkatan Allah,
maka berhati-hati jugalah dengan dosa-dosa yang kita anggap kecil. Ia
menjadi punca murka Allah. Dalam setahun, mungkin seorang dua sahaja warga
negara kita yang mati dibaham harimau. Namun, jumlah yang mati kerana
gigitan seekor nyamuk, jauh berganda. Yang kecil jangan dipandang remeh,
yang besar yang disangka segala-galanya.

Mari luruskan saf, mari kemaskan saf, mari habiskan makanan, mari pelihara
adab dalam iman. Murahkan senyuman, banyakkanlah membuat kebaikan yang
mudah dan kecil tapi berpanjangan. Mengubah ranting dari jalan agar jangan
ada yang kesakitan, memandang wajah saudara dengan air muka manis penuh
senyuman. Banyak-banyakkan berbuat kebaikan, tidak diketahui yang mana
bakal dipilih Tuhan, jadi pemboleh ke syurga yang berkekalan.

Jangan pandang kecil pada RM1 yang mahu didermakan kepada mustadh’afeen di
Palestin!

Sikit-sikit, lama-lama jadi bukit.

ABU SAIF
Sebenarnya aku suka cerita yang aku jumpa ni...

CINTA SEORANG SUAMI...

Based on True Story..

Dilihat dari usia beliau sudah tidak muda lagi, usia yang sudah senja bahkan sudah mendekati malam. Masa Pak Suyatno, 58 tahun ke sehariannya diisi dengan merawat isterinya yang sakit. isterinya juga sudah tua. Mereka berkahwin sudah lebih 32 tahun

Mereka dikurniakan 4 orang anak .......disinilah awal cubaan menerpa, setelah isterinya melahirkan anak ke empat ..........
tiba-tiba kakinya lumpuh dan tidak boleh digerakkan. Hal itu terjadi selama dua tahun.

Menginjak tahun ke tiga seluruh tubuhnya menjadi lemah bahkan terasa tidak bertulang lidahnyapun sudah tidak mampu digerakkan lagi.

Setiap hari pak suyatno memandikan, membersihkan kotoran, menyuapkan, dan mengangkat isterinya ke atas tempat tidur.
Sebelum berangkat ke tempat kerja dia meletakkan isterinya di hadapan TV supaya isterinya tidak berasa kesunyian.

Walau isterinya tidak dapat bercakap, tapi dia selalu melihat isterinya tersenyum, dan pak suyatno masih berasa beruntung kerana tempat kerjanya tidak begitu jauh dari rumahnya,
sehingga siang hari dia boleh pulang ke rumah untuk menyuapi isterinya makan. Petangnya dia pulang memandikan isterinya, mengganti pakaian, dan selepas maghrib dia temankan isterinya menonton tv sambil bercerita apa sahaja yang dia alami seharian.

Walaupun isterinya hanya mampu memandang (tidak mampu memberikan respons ), pak suyatno sudah cukup senang bahkan dia selalu menggoda dan bergurau dengan isterinya setiap kali menjelang tidur.

Rutin ini dilakukan pak suyatno lebih kurang 25 tahun. Dengan sabar dia merawat isterinya bahkan sambil membesarkan ke empat buah hati mereka, sekarang anak-anak mereka sudah dewasa tinggal si bungsu yang masih kuliah.

Pada suatu hari ke empat anak suyatno berkumpul di rumah orang tua mereka sambil menjenguk ibunya. Kerana setelah menikah mereka tinggal dengan keluarga masing-masing.

Dan pak suyatno tetap merawat ibu kepada anak-anaknya, dan yang dia inginkan hanya satu: semua anaknya berjaya.

Dengan kalimat yang cukup hati2 anak yang sulung berkata : "Pak kami ingin sekali merawat ibu ... Semenjak kami kecil kami melihat bapak merawat ibu dan tidak ada sedikit pun keluhan keluar dari bibir bapak, bahkan bapak tidak izinkan kami menjaga ibu."

Dengan air mata berlinang anak itu melanjutkan kata-katanya .........

"Sudah yang kali keempat kami mengizinkan bapak menikah lagi, kami rasa ibupun akan mengizinkannya. Bila papak akan menikmati masa tua bapak dengan berkorban seperti ini .....
kami sudah tidak sampai hati melihat bapak begini... kami berjanji akan merawat ibu dengan sebaik-baiknya secara bergantian," ujar anaknya yang sulung merayu.

Pak Suyatno menjawab hal yang sama sekali tidak didugaoleh anak-anaknya.

"Anak-anakku. .... jikalau hidup di dunia ini hanya untuk nafsu.... mungkin bapak akan berkahwin lagi.... tapi ketahuilah dengan adanya ibu kalian di sampingku... . itu sudah lebih dari cukup. Dia telah melahirkan kalian...."
Sejenak kerongkongannya tersekat..."Kalian yang selalu kurindukan hadir di dunia ini dengan penuh cinta
yang tidak dapat dinilai dengan apapun.Cuba kalian tanya ibumu apakah dia menginginkan keadaannya seperti Ini ?

Kalian menginginkan bapak bahagia .... Apakah batin bapak dapat bahagia meninggalkan ibumu dalam keadaannya seperti sekarang ?

Kalian menginginkan bapak yang masih diberi Allah kesihatan yang baik dirawat oleh orang lain ........bagaimana dengan ibumu yg masih sakit ?

Sejenak meledaklah tangis anak-anak pak Suyatno...Merekapun melihat butiran-butiran kecil jatuh di pelupuk mata ibunya... Dengan pilu ditatapnya mata suami yang sangat dicintainya itu...

Sampailah akhirnya pak Suyatno diundang oleh salah satu stesen TV swasta untuk menjadi panel jemputan acara Bimbingan Rohani Selepas subuh dan juru acara pun mengajukan pertanyaan kepada pak suyatno...

Kenapa bapak mampu bertahan selama 25 tahun merawat Isteri yang sudah tidak mampu berbuat apa-apa?

Ketika itu pak Suyatno pun menangis.....tamu yang hadir di studio yang kebanyakan kaum ibu pun tidak mampu menahan haru...

Disitulah pak suyatno bercerita...Jika manusia didunia ini mengagungkan sebuah cinta tapi dia tidak mencintai kerana Allah maka semuanya akan luntur...

Saya memilih isteri saya menjadi pendamping hidup saya .......Sewaktu dia sihat diapun dengan sabar merawat saya... Mencintai saya dengan sepenuh hati zahir dan batinnya bukan dengan mata kepala semata-mata. .. dan dia memberi saya 4 orang anak yang lucu dan baik-baik...

Sekarang dia sakit berkorban untuk saya kerana Allah... Dan itu merupakan ujian bagi saya.

Sihat pun belum tentu saya mencari penggantinya. .. apalagi dia sakit ... Setiap malam saya bersujud dan menangis dan saya mengadu kepada Allah di atas sajadah supaya meringankan penderitaan isteri saya.

Dan saya yakin hanya kepada Allah tempat saya mengadukan rahsia dan segala kesukaran saya...kerana DIA maha Mendengar... .



Kita perlu insaf dan bersyukur dengan apa yang kita ada...